Selasa, 29 Mei 2012

PERSONALITI WAJAHDIRI WATAK JEHA DAN SANAH DALAM RANJAU SEPANJANG JALAN

  
           
KKD 2063
           PEMBANGUNAN SAHSIAH

TUGASAN
PERSONALITI WAJAHDIRI DALAM WATAK WANITA
( NOVEL RANJAU SEPANJANG JALAN )
http://www.ulatulatbuku.com/components/com_virtuemart/shop_image/product/Ranjau_Sepanjang_4b801026046f1.gif


TAJUK
“HERO WANITA MALAYA”
                 DALAM RANJAU SEPANJANG JALAN

NAMA PELAJAR
ABDUL  LATIP  BIN  SUMAN
NO MATRIK : PPG43258/12


PENSYARAH
DR SYED MOHAMAD BIN SYED ABDULLAH
PUSAT PENGAJIAN ILMU PENDIDIKAN
UNIVERSITI SAINS MALAYSI

PENGENALAN
            Untuk mendapatkan novel Ranjau Sepanjang Jalan hasil karya SN Shahnon Ahmad bukannya mudah, lebih-lebih lagi novel yang sudah berusia 46 tahun ini banyak menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Saya secara jujurnya, inilah kali pertama saya membaca novel tersebut yang mempunyai  halaman 176  mukasurat terbitan Alaf 21. Itupun bukannya berbentuk buku hanya downloud dari laman web yang terdapat diinternet.  Kalau bukan kerana tugasan yang diberikan sampai sekarang saya tidak pernah menyentuh apatah lagi membaca novel tersebut secara terperinci dan mendalam. Sebelum ini saya hanya pernah mendengar tajuk novel ini sahaja dan   pernah juga menonton cerita di layar televisyen arahan Datuk Jamil Sulong, lakonan mantap Datuk Sarimah tetapi tidak menghayati secara mendalam hanya sekilas pandang sahaja. Sebelum menghuraikan lebih lanjut lagi kehendak tajuk tugasan yang diberikan oleh pensyarah berkaitan dengan personaliti wajahdiri yang terdapat pada watak-watak dalam novel ini sebaiknya saya menerangkan secara ringkas sinopsis novel Ranjau Sepanjang Jalan hasil karya Sasterawan Negara Datuk Shanon Ahmad yang cukup sinonim dengan hasil-hasil penulisan beliau yang cukup bermutu dan banyak menyentuh hal-hal kehidupan  realiti masyarakat  pada masa itu.

SINOPSIS
Ranjau Sepanjang Jalan (1966) adalah satu karya dari Shahnon Ahmad yang banyak menyentuh tentang kemiskinan dan perjuangan  keluarga petani sawah di Kampung Banggul Derdep, Sik Kedah.  Berlatar belakang kampung halaman penulis sendiri (Shahnon Ahmad) beliau membawa kita menghayati dan menginsafi keperitan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar genarasi sekarang akan sedar dan insaf bagaimana susah payahnya untuk mendapatkan sesuap nasi. Melalui novel ini penulis berjaya mencipta satu plot  yang penuh kreatif dan permainan emosi yang berjaya menyentak akal fikiran kelompok masyarakat sekarang yang mana petani dahulu sanggup berjuang untuk mencari sesuap nasi untuk diri sendiri malahan seluruh lapisan masyarakat setempat pada masa itu.
Kisah bermula daripada kehidupan keluarga Lahuma dan isterinya Jeha bersama tujuh orang anak gadis mereka iaitu, Sanah,  Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, yang berjuang menguruskan sawah mereka sebanyak 14 relung sebagai satu  kepentingan utama dalam kehidupan mereka. Walaupun untuk  satu musim hasil padi tidak boleh terkurang, padi menjadi segala-galanya, hidup mati mereka semuanya bergantung kepada hasil padi. Perjuangan Lahuma sebagai ketua keluarga cukup memberikan impak yang besar terhadap keluarganya. Sehingga akhirnya Lahuma kecundang akibat kakinya terpijak onak nibung yang meragut nyawanya sendiri. Kedaifan dan kesengsaraan keluarga petani ini bertambah buruk lagi setelah pemergian Lahuma. Maka Jeha,  isteri Lahuma  memikul tanggungjawab yang besar dan banyak menghadapi cabaran dan rintangan dalam mengusahakan sawah peninggalan suaminya. Sebelum itu, selalunya Lahuma mengerjakan sawah mereka dan dibantu oleh Jeha. Tetapi dengan ketiadaan Lahuma, Jeha bersama anak-anak perempuannya pula memikul beban mengerjakan sawah. Namun tenaga Lahuma tidak terganti walaupun dengan gabungan tenaga Jeha dan anak-anak perempuannya.
Malangnnya Jeha tidak dapat bertahan dengan segala kesusahan yang diharunginya sendirian tanpa Lahuma. Banjir, serangan ketam-ketam dan burung-burung tiak menjadikan Jeha tidak keruan dan akhirnya Jeha menjadi gila akibat dugaan mendatang tanpa henti semasa mengusahakan sawahnya. Setelah Jeha menjadi gila dan di hantar ke hospital Tanjung Rambutan, Perak, segala bebanan dan tanggungjawab keluarga diambil alih oleh anak sulungnya iaitu Sanah. Sanah  bersama adik-adiknya adalah penerus perjuangan Lahuma dan Jeha sebagai keluarga tani untuk menguruskan sawah mereka.

ANALISIS PERSONALITI  WAJAHDIRI DALAM  WATAK  JEHA  DAN  SANAH

           
Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, SN Shahnon Ahmad menonjolkan watak wanita sebagai watak penting dalam penulisan ini. Ertinya beliau sungguh menyanjung tinggi peranan wanita Melayu pada masa itu.  Di sini saya akan mengupas dua watak yang mempunyai personaliti wajahdiri dalaman yang terdapat pada watak Jeha dan Sanah.
            Bagi saya, watak Jeha dan anak-anaknya dalam naskah Ranjau Sepanjang Jalan adalah sebagai wirawati  petani yang cukup dibanggkan dan dicontohi oleh masyarakat sekarang.. Dua watak ini mempunyai kekuatan dan kualiti wanita yang berani dan  terus  berjuang walaupun berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Pada saya watak Jeha dan Sanah boleh digambarkan sebagai “Hero Wanita Malaya”   pada masa itu. Selepas kejadian dan urutan-urutan peristiwa yang menimpa keluarga Lahuma, peranan dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga saling berganti. Lebih-lebih lagi tanggungjawab sebagai ketua keluarga diterajui oleh wanita.
Kedua-dua watak ini, Jeha dan Sanah, masing-masing mempunyai personaliti wajahdiri  yang boleh dianggap “Hero Wanita Malaya” dalam novel  Ranjau Sepanjang Jalan.  Melalui plot-plot yang diketengahkan oleh Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan ini memang jelas menampakkan kepada kita Jeha dan Sanah adalah watak besar dalam novel beliau.  Gambaran kisah dua beranak ini cukup kental dalam menghadapi  hari-hari kesukaran dan tidak mudah menyerah kalah demi mempertahankan sumber rezeki mereka.

PERSONALITI  WAJAHDIRI  WATAK  JEHA
Terdapat personaliti wajadiri pada watak Jeha yang  dipaparkan dalam naskah Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Sekaligus menguatkan plot dan jalan cerita Ranjau Sepanjang Jalan  ini.  Dalam novel ini watak Jeha yang ditonjolkankan olah Shahnon Ahmad  jelas untuk saya gambarkan dan sanjungi sebagai hero wanita Malaya pada masa ituGambaran “Hero Wanita Malaya”  yang diberikan kepada Jeha atas dasar sifat-sifat diri dan perjuangan Jeha  dalan mengharungi liku-liku hidup sebagai petani. Selain itu ketaatan pada agama, ketaatan kepada suami, kuat bekerja, cekal, tabah, tekun, penyabar dan penyayang.  Pada saya watak Jeha satu kesungguhan untuk menampilkan watak wanita yang unggul dan berani berjuang untuk mencari rezeki sekalipun kita tahu kudrat wanita kadangkala ada lemahnya,  namun semua itu bukan alasan bagi Jeha apatah lagi selepas kematian suaminya Lahuma.
Sifat-sifat yang ada pada Jeha cukup dijadikan teladan oleh kaum wanita zaman sekarang.  Jeha seorang isteri dan ibu tunggal yang taat pada agama dan kesetiaannya yang  sanggup mendiami sebuah teratak yang sekian lama untuk menampung mereka sekeluarga. Sawah 14 relung peninggalan arwah suaminya harus diusahakan demi menampung keperluan hidup keluarganya . Jelas terpampang di sini bagaimana Jeha sanggup setia menguruskan tanah sawah walaupun tenaga yang ada tidak menampung sepenuhnya menguruskan sawah tersebut. Kesetiaan dan janji yang dipegang oleh Jeha kepada suaminya mencerminkan sikap taat setia Jeha kepada arwah suaminya.
Kekuatan Jeha yang dipaparkan oleh Shahnon Ahmad  dalam Ranjau Sepanjang Jalan dapat memberi inspirasi dan keinsafan kepada kaum wanita  pada masa sekarang. Kegigihan dan ketekunan Jeha yang memikul tanggungjawab suami bukannya mudah memandangkan kesulitan dan cabaran yang dihadapinya pada masa dahulu. Seorang ibu tunggal kepada 7 orang anak gadisnya setelah kematian suaminya Lahuma yang mati terpijak duri nibong., sememangnya bukan mudah untuk membesarkan anak-anak dengan hasil usaha sebagai petani. Hasil padi yang diperolehi hanya sekadar untuk pengias diri yang senampak kabur. Jeha memainkan peranan besar dalam ketua keluarga untuk  menghadapi hari-hari kehidupan mereka dengan hanya mengusahakan sawah. Jelas ini menampakkan Jeha ibu tunggal dan ketua keluarga yang tekun dan gigih pada masa itu. Ketekunan dan kecekalan yang ditonjolkan Shahnon Ahmad melalui watak Jeha akan memberi contoh dan teladan yang baik bagi kaum hawa pada masa sekarang sebagaimana Jeha mengharungi kehidupan susahnya sebagai petani sebelum atau selepas kematian suaminya.
Jeha si ibu dan tujuh anak daranya; Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah yang hidup pada pertengahan abad 20 menjadi keluarga anak tani bukannya mudah. Mereka mengusahakan sawah dengan penat jernih. Hidup dan mati mereka semuanya bergantung pada hasil padi. Padi menjadi segala-galanya. Makanan, wang semuanya datang daripada hasil padi. Jeha harus menerjui kehidupan keluarga. Mereka tidak harus mati kelaparan, sawah padi menguning, hujan lebat, banjir besar dan kedatangan ketam serta burung   tiak  yang menjahanamkan padi harus dan perlu ditentang. Sebegitu kuat azam Jeha untuk   meneruskan perjuangan suaminya. Sikap Jeha yang tidak mudah mengalah kepada kejadian alam adalah sifat yang  harus dipuji. Jeha beranggapan mati hidup dan senang dipegang oleh Allah S.W.T dan Jeha tetap menerima dengan penuh kesyukuran dan berserah pada Qada dan Qadar..
            Watak Jeha sebagai “Hero Wanita Malaya” cukup jelas dan berpadanan dengan sifat beliau sebagaimana kita lihat apabila Jeha bersama suaminya   menebas semak , membersihkan rumput bulu landak dan segala semak samun lain yang merajai kawasan bendang mereka.  Ada suatu ketikanya Jeha hampir  di patuk ular tedung semasa memetik pucuk-pucuk kayu di sawahnya.  Segala rintangan dan dugaan yang dihadapi   tidak sama sekali mematahkan semangat beliau untuk meneruskan kerja-kerja  rutin sebagai petani. 
Kekuatan semangat yang ada pada Jeha dalam mengerjakan sawahnya lagi terbukti apabila Jeha mengharungi rintangan ketika padi mula disemai, sarangan burung tiak yang memagut buah-buah padi, ketam-ketam putih yang memotong batang-batang anak padi hinggakan semua ujian ini terpaksa mereka tempuhi sehingga memaksa Jeha dan keluarganya berada di bendang hingga hari malam. Kesungguhan Jeha untuk menjaga sawahnya begitu kuat sekali, hanya wanita cekal dan tabah saja yang sanggup menghadapi semua cabaran-cabaran ini.
Shahnon Ahmad juga dalam novel ini menonjolkan sikap Jeha yang taat kepada suami, dikala suaminya Lahuma masih hidup hinggalah diakhir hayatnya. Kesetiaan dan ketaatan yang diberikan oleh Jeha kepada suaminya ketika Lahuma sakit akibat tercucuk duri nibong. Jehalah yang merawat dan menjaga Lahuma walaupun pada masa itu kerja-kerja sawah harus diteruskan. Kasih sayang Jeha kepada suaminya tidak bebelah bagi sehinggalah Lahuma menghembuskan nafas terakhir akibat tanggungan penyakitnya  yang tidak terubat. Pernah suatu ketika, Jeha terbayang-bayang wajah suaminya di sawah dan merasakan suaminya sentiasa berada disisinya. Apabila Jeha mengalami tekanan mental (gila) nama suaminya sering diajukan kepada anak-anaknya. Beliau selalu bertanya kepada anak-anaknya terutama Sanah tentang ayah mereka. Kekuatan cinta Jeha kepada Lahuma begitu mendalam hinggakan melahirkan permainan emosi yang menyentak hati dan perasaan pembaca.
Namun diakhir perjuangan hero wanita Malaya ini, akhirnya kecundang juga akibat terlalu banyak rintangan dan dugaan yang tidak dapat diharungi oleh Jeha. Ujian-ujian yang begitu perit yang tidak tertanggung oleh Jeha menyebabkan beliau mengalami tekanan jiwa. Kesungguhan wanita juga adakalanya tertewas oleh keadaan alam, ini terjadi kepada Jeha. Jeha tidak dapat menerima hakikat kejadian alam yang merosakkan tanamannya. Gangguan ketam-ketam putih, serangan burung-burung tiak dan banjir telah  menamatkan dan mengakhiri perjuangan Jeha sebagai wirawati petani. Kegilaan Jeha yang semakin menjadi-jadi menyebabkan anak-anaknya mengambil keputusan untuk menghantar Jeha ke Hospital Tanjung Rambutan, Perak.

PERSONALITI  WAJAHDIRI  WATAK  SANAH
            Sanah adalah anak sulung pasangan suami isteri Lahuma dan Jeha. Watak Sanah yang diketengahkan  oleh SH Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan  adalah watak wira yang tidak didendang. Terdapat personaliti wajahdiri yang ketara ditonjolkan oleh Sanah dalam penceritaan SH Shahnon Ahmad. Kekuatan dan kualiti wanita yang dimiliki oleh Sanah adalah warisan dari ibunya Jeha. . Semasa ayahnya masih hidup dan sebelum ibunya menjadi gila Sanahlah yang banyak membantu keluarga mereka dalam kerja-kerja sawah. Sanah adalah pendorong semangat adik-adik perempuannya.  Kesinambungan watak wanita selepas Jeha adalah Sanah…Sanah penyambung warisan keluarganya…..keluarga tani. Sanah seorang gadis yang belum bersuami tetapi sudah cukup matang dalam menguruskan keluarga. Sanahlah pengganti Lahuma dan Jeha, selepas ayahnya meninggal dan ibunya gila Sanahlah yang akan meneruskan perjuangan keluarga bersama adik-adiknya dalam mengusahakan sawah mereka.
            Selepas Jeha menjadi gila, Sanah mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga yang berperanan sebagai seorang ayah, ibu, kakak sulung dan penyara kehidupan dia dan adik-adiknya. Bukannya mudah bagi seorang wanita seperti Sanah yang belum berkeluarga berani dan sanggup mempertaruhkan kehidupannya demi meneruskan kehidupan sebagai petani apatah lagi memimpin adik-adiknya sama-sama memperjuangkan tanah sawah mereka. Seperti ibunya Jeha, Sanah juga berhadapan dengan segala masalah dan cabaran dalam mengusahakan sawah mereka.  Kekuatan watak Sanah lebih menonjol setelah ibunya menjadi gila dan bagi Sanah perjuangan harus diteruskan. Mereka tidak harus mati kelaparan, sawah padi menguning, hujan lebat, banjir besar dan kedatangan ketam serta gangguan burung tiak harus dihadapi dengan penuh kesabaran dan kecekalan.  Personaliti wajahdiri yang dibangkitkan oleh Sanah adalah bagaimana beliau menghadapi situasi hari-hari mendatang dengan hanya berbekal semangat dalam memperjuangkan sawah mereka. Di sini, Sanah  berperanan sebagai pembangkit semangat keluarganya dan juga masyarakat setempat. Penduduk kampung mencontohi apa yang diperjuangkan oleh Sanah dan adik-adiknya.  Personaliti wajahdiri yang ada pada Sanah lagi terbukti apabila dia berhadapan dengan masalah mental ibunya. Kekuatan diri yang ada pada Sanah cukup memberi pengajaran kepada kita, walaupun ibunya (Jeha) gila, Sanah tetap sabar dan sentiasa menyayangi ibunya walaupun terpaksa  melayan segala kerenah dan tindakan-tindakan ibunya adakalanya diluar batasan. Kesabaran dan ketabahan Sanah tercabar juga apabila Sanah terpaksa menghantar ibunya ke Hospital Sakit Jiwa Tanjung Rambutan di Perak. Walaupun berat rasanya hati Sanah dan adik-adiknya berbuat demikian, namun demi menyayangi ibunya, Sanah pasrah dan menerima segala ketentuan Ilahi apa yang terjadi kepada ibu.
           

           
KESIMPULAN        
Pada saya, novel Ranjau Sepanjang Jalan mempunyai plot yang  penuh dengan kesungguhan untuk menampilkan personaliti wajahdiri watak-watak wanita seperti Jeha dan Sanah yang terus berani berjuang mencari rezeki sekalipun tahu bahawa kudrat wanita kadangkala ada lemahnya namun semua itu bukan alasan apatah lagi tempat mereka bergantung yakni Lahuma sudah tiada. Terdapat kuasa wajahdiri  pada watak Jeha dan Sanah. Persamaan sifat antara Jeha dan anaknya Sanah adalah gambaran “Hero Wanita Malaya” yang cukup berani berjuang menghadapi hari-hari mereka yang penuh dugaan dan cabaran sebagai pewaris keluarga tani. Jeha menjadi gila atas perjuangannya mempertahankan sawah mereka. Ketabahan Jeha tercabar disebabkan kejadian alam yang merosakkan tanaman mereka yang tidak dapat diterima oleh Jeha. Sanah sebagai watak yang harus diketengahkan sebagai wira, kerana Sanah adalah penyambung warisan tani keluarga Lahuma.  Kehidupan harus diteruskan, perjalanan hidup Sanah dan adik-adiknya terlalu jauh.











D

2 ulasan:

  1. Sanah patut dianugerah Wanita Negara. Sanah bersuamikan siapa? Dimana beliau? Patut dijemput ke majlis motivasi untuk wanita kini....

    BalasPadam